REJAB OH REJAB…

|

Setibanya bulan Rejab pasti kita tak lekang dari membicarakan kisah yang amat penting dan amat bermakna buat kita umat Islam . Sudah pasti kisah ini menjadi suatu bualan atau cerita yang disampaikan melalui kuliah , ceramah mahupun kisah ini diceritakan oleh ibu-bapa , guru-guru kepada anak-anak kecil .
Bulan Rejab adalah salah satu dari 12 bulan ALLAH s.w.t . Setibanya Rejab memberi makna bahawa Ramadhan yang penuh dengan keberkatan yang awalnya rahmat , tengahnya pengampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka telahpun semakin hampir untuk mengunjungi kita umat Islam . “YA ALLAH PERTEMUKAN KAMI DENGAN BULAN RAMADHAN “.
Apa yang ingin saya coretkan di sini tidak lain dan tidak bukan ialah mengenai mukjizat Nabi yang amat menakjubkan seluruh umat manusia sepanjang zaman iaitu peristiwa Isra’ dan Mikraj Nabi s.a.w . Walaupun ada khilaf dikalangan Ulama’ tentang bila dan pada bulan manakah berlaku peristiwa ini , saya menganggap ianya suatu yang biasa bilamana tiadanya nas atau dalil yang qat’ie (putus) yang menerangkan bilakah dan bulan manakah ianya berlaku .
Pun begitu , umat Islam terutama masyarakat kita khususnya telahpun serasi , kata orang telah mendarah daging mengangap bahawa Isra’ dan Mikraj berlaku di bulan Rejab dan sembahyang juga difardukan didalam bulan ini . Manakan tidak , kerajaan islam di Kelantan juga telah menjadikan bulan Rejab sebagai bulan sembahyang . Mengapa dijadikan bulan sembahyang? Tidak bulan isra’ Mikraj?. Ya , kerana sembahyang merupakan sejumlah perkara yang dikurniakan kepada Nabi kita dan telah difardukan juga kepada kita umat islam di malam isra’ dan Mikraj . Kan Nabi juga menegaskan solat itu tiang seri bagi agama kita?.
Kalau di zaman 50 atau 100 tahun dulu , ulama-ulama kita akan mengadakan majlis menceritakan tentang isra’ dan Mikraj secara terperinci , ada yang membuat tiga hari , ada yang sampai tujuh hari . Begitulah caknanya ulama’ kita terhadap peristiwa ini .
Apa ingin saya tekankan di sini , tentang kepentingan sembahyang atau arabnya berbunyi solat . Memang kita ghairah menyambut isra’ dan Mikraj dengan mendengar cerita-ceritanya tapi jangan pula kita lupa atau tak sempat untuk berfikir atau mengambil iktibar dari peristiwa itu . Alangkah besar maknanya bila ALLAH mewahyukan solat di malam isra’ Mikraj untuk menyatakan secara tersiratnya bahawa solat merupakan suatu yang amat penting kepada kita . Hanya solat sahaja yang difardukan ketika Nabi Mikraj bertemu ALLAH .
Isra’ Mikraj ini secara maklumnya telah diketahui , ianya berlaku untuk mentasliyahkan(menenangkan) hati Nabi kerana kesedihan mengenangkan orang-orang yang tercinta yang telah pergi menyahut seruan ilahi . Lalu pada Isra’ Mikraj ini jugalah difardukan kepada kita solat lima waktu sehari semalam .
Apakah dengan solat hati akan tenang?. Jawapannya hanya kita yang merasainya . Teringat saya mukaddimah kitab Munyatul Musolli yang menyatakan bahawa solat merupakan syurga dunia bagi orang-orang yang khusyuk dalam solat mereka . Maka jelaslah sememangnya solat boleh menenangkan hati sanubari kita seandainya kita benar-benar khusyuk pada ALLAH .
Bila hati dah tenang hidup pun akan aman . Maka benarlah firman ALLAH yang bermaksud “ sesungguhnya solat itu boleh mencegah kita dari melakukan perkara fahsya’ dan munkar . Apakah fahsya’? apakah munkar?. Saya amat tertarik dengan syarahan yang dibuat oleh Tuan Guru Hj Mohd Baqi Osman . Dia mengatakan fahsya’ ialah suatu perkara yang buruk atau jahat yang kita buat tetapi hanya kepada diri kita sahaja tidak melibatkan orang lain . Manakala munkar pula ialah suatu perkara buruk atau jahat yang kita buat yang melibatkan orang lain selain diri kita .
Memang benar apa sahaja yang disuruh ALLAH , dan yang dilarangNYA pasti ada hikmatnya . Andai kita semua bersembahyang dengan penuh khusyuk dan tawaduk pada ALLAH , saya yakin hati kita akan tenang setenang air sungai yang mengalir . Bila hati dah tenang pasti tiada lagi manusia yang cuba atau melakukan perkara-perkara yang tidak baik atau jenayah yang boleh membuat hidup di dunia ini ibarat neraka buat kita .
Marilah sahabat-sahabat , sanak saudara dan semua hamba ALLAH semuanya , sama-samalah kita menunaikan solat dengan menyempurnakan segala hak-haknya baik disegi zahir maupun batin . Hak zahirnya dengan kita menunaikan segala rukun-rukun serta sunat-sunatnya , adapun hak batinnya dengan kita menjaga hati kita dari sifat-sifat yang dicela riyak(menunjuk-nunjuk) , ujub(bangga diri) dan lain-lain , dan kita hiasi hati kita dengan sifat-sifat yang terpuji khusyuk(tunduk hati) , tawaduk(tunduk diri) dan tazallul(menghina) diri serta hati hanya kepada ALLAH s.w.t .

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

©2009 .::ilahi anta maqsudi::. | Template Blue by TNB