selawat syifa'

|

assalamualaikum...
Alhamdulillah diatas segala nikmat yang tidak terhitung bilangannya . selawat dan salam keatas junjungan nabi Muhammad S.A.W yang membebaskan manusia daripada awan kejahilan kepada sinar islam .Baru-baru ini ada seorang sahabat memohon penjelasan mengenai selawat syifa' adakah ianya syirik atau tidak?.Dengan rendah hati saya ingin berkongsi dengan saudara sekalian mengenai permasalahan ini .

اللهم صل على محمد طب القلوب ودوائها وعافية الأبدان وشفائها ونور الأبصار وضيائها وعلى اله وصحبه وسلم


HUKUM ADALAH SATU CABANG DARIPADA GAMBARAN SESUATU

Dalam keghairahan untuk mencari kebenaran dan mencegah kebatilan jangan pula kita terlalu gopoh menghukum sesuatu perkara sehingga mensyirikkan dan mengkafirkan seseorang atau sesuatu amalan tanpa kajian yang benar-benar teliti .Sesungguhnya hukum itu mestilah didasari kajian yang amat-amat halus dan berhati-hati .Besar kesalahannya menghukum tanpa asas yang kukuh .

Selawat syifa' adalah satu amalan yang sangat masyhur lebih-lebih lagi ditanah air kita . ianya seakan mendarah daging dalam tubuh alim-ulama serta masyarakat awam , lebih-lebih lagi sekira seseorang itu adalah perawat atau bahasa kampung dipanggil tok bomoh .Mengikut tajribah atau riyadah para pengamal selawat ini mereka mengatakan ianya amat mujarab dalam rawatan menyembuhkan penyakit atau amat berkesan menyejukkan kepanasan yang menimpa seseorang .

BENARKAH SELAWAT SYIFA' SYIRIK?

Sebelum melanjutkan perbincangan ini , sebaiknya kita fahami sebenar-benarnya makna syirik . Syirik adalah suatu perkara yang berlawanan dengan tauhid . Tauhid adalah kita menyembah , meminta dan berdoa hanya semata-mata kepada Allah S.W.T , manakala syirik adalah kita menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain daripadanya dalam ibadah , doa dan sebagainya .

Justeru apabila kita fahami makna syirik maka jelaslah kepada kita adakah orang yang beramal dengan selawat syifa' ini beriktikad atau memohon selain daripada Allah?jawabnya pasti tidak .Mana mungkin seorang muslim yang waras boleh memohon kepada selain Allah .Tanyalah kepada pengamal selawat ini adakah mereka beriktikad sedemikian rupa? saya yakin tidak seorang pun beriktikad begitu .

TAKWILLAH SESUATU DENGAN HALUS

Selawat syifa' dikatakan syirik kerana salah faham terhadap ayat "طب القلوب" yang dikatakan nabi adalah penyembuh hati-hati . Kalau kita merujuk kepada asal kalimah "طب" kita akan menjumpai maknanya ialah "علاج" dengan makna rawat bukan makna penyembuh .Maka difahami daripada makna ini bahawa selawat adalah satu cara untuk merawat hati . justeru , dimana salahnya jika makna ini digunakan?disudut manakah ianya membawa kepada syirik?.

Kita sering menggunakan ayat "panadol ini ubat yang elok untuk merawat demam" atau "akar kayu ini mujarab untuk penyakit ini".adakah kita akan syirik dengan berkata begitu sedangkan kita beriktikad hanya Allah adalah penyembuh?kalau syirik siapalah yang masih beriman kepada Allah agaknya?

Ada setengah ulama mentakwilkan ayat diatas dengan mengatakan disana terdapat maf'ul mutlak yang dihazaf , maka taqdirnya ialah "اللهم صل على محمد صلاة طب القلوب" . Jika disambung dari awal selawat ianya bermaksud "ya allah cucuri keatas nabi Muhammad selawat yang boleh merawatkan hati-hati dan menjadi ubatnya".ini bermakna selawat adalah satu cara untuk merawat hati-hati bukannya nabi yang menyembuhkan .

Namun bagi saya tidak salah kalau kita tidak mentakwilkan begitu . Apa salahnya kalau kita menganggap nabi juga adalah ubat atau perawat kepada hati-hati manusia?bukankah kedatangan nabi telah merawat hati manusia ketika itu dari segala penyakit jahiliyyah .Namun yang menyembuhkan penyakit itu hanyalah Allah S.W.T jua .Bukankah bahasa itu kaya dengan ayat majaz , kinayah dan sebagainya . Tidak salah kita mengatakan nabi adalah perawat dan penyembuh secara majaz namun yang hakiki adalah Allah jua .


JANGAN BIMBANG UNTUK MENGAMALKAN SELAWAT SYIFA'

Mungkin bila kita mendengar ada orang yang mengatakan selawat syifa' syirik dan satu kekufuran , terdetik dihati untuk meninggalkan amalan ini dan kita juga akan menyebarkan fatwa tersebut .Saya ingin melontar satu soalan , jahilkah ulama kita sehingga soal syirik pun tak mampu dibezakan?apakah mereka yang selama ini berjuang menghapuskan syirik , kurafat dan sebagainya sanggup melakukan perbuatan syirik juga?

Amallah , usah pedulikan mereka yang berkata begitu , najis yang sikit takkan menajiskan air yang banyak , perkataan segelintir manusia takkan menggugat pendapat kebanyakan ulama' .Itulah ibarat yang saya boleh nyatakan .

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua dan menjadi pencetus yang menyemarakkan lagi rasa cinta kita untuk memperbanyakkan selawat keatas nabi Muhammad S.A.W .wallahua'lam .

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

©2009 .::ilahi anta maqsudi::. | Template Blue by TNB